EKONOMI, PENDIDIKAN DAN KETEPINGGIRAN BUMIPUTERA
Republished Berita Harian 8 April 2025
POPULAR WRITING
Dr. Nurfarhana Che Awang
7/10/20254 min read
Photograph: Hostinger.com
Secara normatifnya bahawa Bumiputera di tanah bertuah ini kaya dan memiliki wasiat dan amanat yang besar diperturunkan oleh raja-raja Melayu kepada mereka melalui penyelusuri sejarah dan perlembagaan negara.
“…kami wasiatkan kepada zuriat keturunan 7 perkara……”
“…kami istiharkan dan kami simpan untuk kamu……tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.
“…kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain”. (Teks Titah Raja Muda Perak, 6 Ogos 2009).
"...Peruntukan Perlembagaan fasal-fasal Perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); dan Perkara 12, Perkara 38 (5)...”
Turut menyatakan secara normatif soal hak dan keistimewaan orang Melayu.
Namun begitu, persoalanya mengapakah nasib Bumiputera masih mundur dan merempat di tanah air sendiri? Di manakah ralatnya? Di manakah lemahnya? Apakah lemahnya pada posisi polisi afirmatif, agenda kesamarataan atau pada gerakan kesaksamaan? Sedangkan agenda pembangunan negara untuk Bumiputera telah lama diperjuangkan dengan secara berhati-hati agar tidak tersilap langkah dan memihak kepada “rent-seeker” dan “free riders” yang mencari ruang dan peluang mentekedarah hasil bumi dan keringat peribumi.
Paradoksnya, di mana kesilapan dan kegagalan kita? Sehinggakan hasil bumi bertuah ini tidak memihak kepada nasib peribuminya sendiri? Di manakah sebenarnya tempat dan arah anak watan berpijak sekarang? Di bandar, di pinggir bandar atau di lorong-lorong setinggan merempat?
Jika menurut anggaran statistik kependudukan semasa Bumiputera dari Jabatan Perangkaan Malaysia 2023. Memperlihatkan bahawa 61 peratus Bumiputera berada pada kadar kemiskinan tinggi. Malaysia memiliki 30.42 juta rakyat Malaysia dengan kependudukan Bumiputera adalah sebanyak 70 peratus daripada populasi iaitu bersamaan dengan 21.33 juta. Pecahan dari populasi berikut dengan kependudukan Bumiputera adalah sebanyak 14.64 juta berada di bandar dan 6.01 juta berada di luar bandar. Kedudukan negeri-negeri kemiskinan tinggi di Kelantan sebanyak 1.74 juta (96.6%), Terengganu 1.13 juta (97.6%), Kedah 1.67 juta (80.5%) dan 2.36 juta (88.9%) di Sabah.
Ini menunjukkan bahawa antara faktor kemiskinan Bumiputera adalah berkhususkan kepada lensa kependudukan yang membunuh ekonomi Bumiputera yang lebih tepat merujuk kepada “ketepinggiran yang memerangkap” yang didasari oleh “pertumbuhan rendah – pendapatan rendah – kemiskinan tinggi”. Ini jelas menjadikan bahawa Bumiputera adalah komposisi terbanyak miskin mutlak (pendapatan bulanan bawah RM2, 589) yang tergolong pada lingkungan B40. Status kemiskinan mutlak ini dijulangi kemenangan oleh Bumiputera dengan peratusan 85.2 peratus, diikuti dengan kaum India 9.4 peratus dan kaum Cina 3.9 peratus) disertai dengan lain-lain kaum sebanyak 1.5 peratus yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaaan Malaysia 2023.
Malahan, jurang kemiskinan Bumiputera telah menjurang dengan lebarnya dengan kaum-kaum lain. Iaitu dapat dilihat dari tahun 1970 sehingga 2022, memperlihatkan trend peningkatan isi rumah Bumiputera meningkat. Namun, persoalannya mengapakah jurang kemiskinan Bumiputera dengan kaum lain makin melebar? Mengapa hal sedemikian ini terjadi? Sedangkan kerajaan telah memfokuskan kepada pembangunan dan kemajuan Bumiputera ini sejak merdeka lagi dengan pelaksanaan berbagai dasar-dasar afirmatif. Fenomena ini harus diteliti agar nasib Bumiputera tidak menyembah bumi.
Antara aspek yang menyumbang kepada kemunduran dan ketidakmajuan Bumiputera adalah sistem pendidikan itu sendiri. Yang dapat disasarkan kepada soal atau konteks sikap sambil lewa sebahagian Bumiputera dalam pendidikan antara penyumbang kepada kemiskinan dan ketepinggiran. Hal ini turut terjadi kerana didasari kepada beberapa faktor iaitu seperti status sosial ekonomi atau Social Economic Status (SES) yang mengekang Bumiputera dalam pencapaian pendidikan. Dengan penstatusan sosial ekonomi yang rendah menyebabkan Bumiputera bersikap terkebelakang dalam pendidikan khususnya. Ini dapat dilihat pada statistik persekolahan Menengah. Iaitu sebanyak 2, 066, 298. Hanya 44.972 (2.2%) Bumiputera berada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), 37, 103 (1.8%) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sebanyak 1,984, 223 (96%) berada di sekolah harian biasa.
Fenomena dan keadaan ini turut menyumbang kepada peratusan terhadap kualiti tenaga kerja Bumiputera itu sendiri yang akan menentukan status ekonomi. Iaitu dapat dilihat hanya 29 peratus sahaja tenaga mahir yang tergolong daripada Bumiputera dan 71 peratus lagi terletak pada tenaga separa mahir dan rendah. Keadaan atau kedudukan tenaga mahir Bumiputera dilihat rendah berbanding kaum-kaum lain iaitu Cina tenaga mahir 40 peratus dan diikuti India tenaga mahir adalah sebanyak 37 peratus dan malahan dilihat kedua-dua kaum ini mendahulu peratusan tenaga mahir Bumiputera itu sendiri.
Malahan, dari konteks statistik pengangguran dari Laporan Survei Tenaga Buruh 2022 memperlihatkan bahawa peratusan pengangguran tertinggi adalah Bumiputera. Dengan 70.9 peratus Bumiputera, diikuti Cina 17.8 peratus dan India 6.4 peratus serta lain-lain kaum sebanyak 4.9 peratus. Maka, kesannya daripada pelbagai rentetan pemfaktoran kemiskinan adalah bersifat kesan domino yang menyebabkan pendapatan pekerja mahir Bumiputera terletak pada julat rendah yang dapat dilihat pada nisbah Bumiputera dan kaum lain iaitu India 0.84 peratus dan Bumiputera 0.71 peratus.
Maka demikian, negara harus memperhalusi suatu dasar yang dapat mengatasi kelemahan-kelemahan dan lompong keupayaan ekonomi Bumiputera dari aspek pendidikan dan modal insan khususnya; supaya nasib Bumiputera tidak tersungkur menyembah bumi di tanah air sendiri. Malahan, kerajaan harus merangka suatu dasar agenda negara yang memfokuskan khusus kepada keperluan pembangunan pendidikan dan modal insan negara bagi keperluan kepada pemutihan kemiskinan dan kemajuan ekonomi Bumiputera yang sekaligus dapat membentuk dan membina mentaliti Bumiputera yang celik akan kepentingan pendidikan, segala agenda dan ejen pembasmian kemiskinan. Dan agenda pembasmian kemiskinan dan celik pendidikan ini harus didasarkan kepada konteks reformasi dasar pendidikan, kerana hanya wadah pendidikan sahaja mampu meningkatkan penyertaan golongan Bumiputera dalam sektor ekonomi; ini kerana tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan Bumiputera akan tersungkur dan mengemis di tanah air sendiri.
Malahan, hanya melalui pendidikan sahaja peratusan kepemilikan Bumiputera dapat ditingkatkan serta intervensi kerajaan dalam penggubalan dan perlaksanaan dasar-dasar afirmatif khusus mampu membantu Bumiputera untuk menguasai pasaran ekonomi bebas terutamanya dalam era neo-liberalisme dan sekaligus dapat memegang amanat dan wasiat raja-raja Melayu supaya hak peribumi terpelihara selamanya.
Dr. Nurfarhana Awang merupakan seorang politikal saintis yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.