Kewarganegaraan Digital (Digital Citizenship): Hak, Tanggungjawab dan Cabaran Malaysia Pasca-RMK13
Republished -Berita Harian 19 Julai 2025
POPULAR WRITING
Dr. Nurfarhana Che Awang
7/21/20254 min read
Photo: Hostinger.com
Apakah negara dan dunia sedar bahawa kita kini terpecah kepada dua warganegara? Dua dunia, dua hak, dan dua tanggungjawab? Ini lah hakikat yang harus kita akui bahawa sesiapa sahaja di dunia pada hari ini adalah turut merupakan warganegara maya atau warganegara digital secara sedar atau tidak sedar. Dengan itu, kita sebagai warganegara kini bukan sahaja memiliki hak akan kedua-dua warganegara ini tetapi ia turut didatangi dengan tanggungjawab dan cabaran terhadap kedua-dua dunia ini.
Manakan tidak, apabila dunia pada hari ini terlalu bergerak pantas ke arah pendigitalan total. Sehinggakan segala urusan kehidupan didigitalkan. Arus perubahan dunia ini tidak sedikitpun mengecualikan Malaysia. Hampir kesemua tata urusan dan kehidupan telah melibatkan pendigitalan, iaitu daripada soal pembayaran, perbankan, pendidikan sehinggalah soal komunikasi politik turut berlaku di atas talian.
Namun, satu persoalan yang harus diperutarakan di sini iaitu “apakah rakyat Malaysia benar-benar bersedia menjadi warganegara digital (digital citizenship) yang bertanggungjawab, kritis dan terlindung
Ini kerana, kewarganegaraan digital bukan sekadar soal celik teknologi atau celik gadjet. Tetapi ia melibatkan soal isu yang merangkumi aspek kesedaran terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna media digital, isu etika berkomunikasi, soal kebebasan bersuara yang seimbang dengan tanggungjawab sosial; serta keupayaan menilai maklumat secara kritikal. Oleh itu, jika dilihat dari punak (konteks) demokrasi moden. Menjadi warga maya atau digital bukan sahaja bermakna kita menjadi pengguna semata-mata, tetapi ia juga menjadi warga yang akan membentuk wacana dalam talian dan penyumbang kepada budaya siber yang sihat dan positif.
Justeru itu, kita sedar bahawa realiti pada ini jelas menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia sendiri, khususnya golongan muda-mudi dan warga luar bandar tengah berdepan dengan suatu cabaran baharu dan besar dalam mengamalkan dan beradaptasi akan kewarganegaraan digital yang aktif dan bermakna. Bahkan, kemungkinan jua, ramai yang tidak sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada warganegara digital dan ini turut menjadi suatu cabaran besar yang harus didepani oleh seluruh warga di Malaysia, selain daripada cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh mereka seperti: 1) Ketidaksetaraan akses internet dan peranti digital, terutamanya di kawasan pendalaman dan Sabah-Sarawak. 2) Keciciran pendidikan digital, di mana pengguna celik akan soal gadjet tetapi tidak ada pendedahan dan permahaman akan dimensi etika, privasi dan keselamatan data. 3) Penyebaran makluman palsu, ujaran kebencian, buli siber, doxing yang semakin menjadi budaya di media sosial. 4) Ketidaksedaran terhadap hak digital, termasuk hak untuk dilindungi, didengari dan tidak didiskriminasi dalam ruangan maya.
Oleh demikian, sering kita melihat bahawa negara sering saja mengagungkan soal konteks ekonomi digital dan sebagainya. Namun hakikat persoalannya, apakah negara atau warganya bersedia untuk mewujudkan sebuah masyarakat digital yang adil, aman, saksama dan inklusif?
Oleh itu, pada hemat saya. Malaysia amat memerlukan satu anjakan paradigma dari sebuah dasar yang menumpukan kepada infrastruktur digital semata-mata; kepada sebuah dasar yang berpendekatan holistik, iaitu yang membina kewarganegaraan digital sebagai budaya sivik baharu Malaysia. Ini sangat signifikan, bukan sekadar hanya untuk para belia, tetapi untuk kesemua lapisan masyarakat agar dapat berfungsi secara beretika dan berkesan dalam ruangan digital. Hal ini kerana, Digital citizenship bukanlah merupakan suatu perkara yang baharu, malahan di negara-negara luar seperti negara Eropah telah giat membangunkan modul dan model untuk kewarganegaraan digital antaranya seperti “Digital Citizenship Model Course, 2020 oleh European Commission dan ERAMUS dan “Digital Citizenship Education Handbook” oleh Council of Europe, 2019.
Maka demikian, dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) nanti, kerajaan MADANI harus memberi penekanan dan perhatian yang serius ke atas dasar Kewarganegaraan Digital. Antara syor yang mungkin dan harus dipertimbangkan oleh kerajaan MADANI pada hari ini adalah seperti berikut:
1) Pendidikan Digital sebagai Komponen Teras Kurikulum Nasional
Subjek literasi digital dan etika siber wajar dijadikan mata pelajaran wajib dari kesemua peringkat Menengah hinggah Pendidikan Tinggi. Pendidikan ini tidak hanya harus tertumpu kepada kemahiran teknikal atau IT semata, tetapi ia harus holistik daripada pelbagai dimensi hak asasi, budaya kritikal dan keselamatan dalam talian.
2) Program Komuniti Kewarganegaraan Digital
Perluasan inisiatif akar umbi yang melibatkan pelbagai pihak seperti belia, NGO, institusi tempatan dalam membina kesedaran digital di peringkat komuniti, terutama di kawasan yang kurang liputan digital.
3) Akta dan Polisi Perlindungan Hak Digital
Kerajaan MADANI harus berusaha memperkenalkan suatu rangka kerja hak digital rakyat, termasuk soal privasi, perlindungan data peribadi, dan akses maklumat sahih. Inisiatif rangka ini mampu turut memperkukuhkan undang-undang terhadap pelanggaran hak warganegara digital dan eksploitasi dalam talian, siber buli dan penyalahgunaan data.
4) Mewujudkan Indek Kewarganegaraan Digital
Bukan sahaja buku harus memiliki indek, tetapi Kerajaan Malaysia MADANI juga harus bersikap aktif dalam mewujudkan dan membangunkan indek khas untuk menilai tahap kewarganegaraan digital rakyat secara berkala. Ia meliputi soal literasi, keselamatan siber, keterlibatan sivik, kesedaran hak. Pembangunan indek khas ini akan mampu membantu negara merangka dasar berdasarkan data dan keperluan sebenar
Akhir kalam, bahawa dunia pada hari ini telah menjadi satu dunia yang bersifat jitu bersatu dalam satu ruangan digital dan trend ini telah menjadi sebahagian daripada ruangan awam. Maka, dengan itu, negara memerlukan warga digital yang bukan sahaja tahu bermain media sosial, tetapi sebaliknya turut tahu dan celik akan hak dan tanggungjawba mereka. Semoga kesedaran dan inisiatif dasar yang akan dibangunkan MADANI mampu membawa suatu perubahan dan pengaruh positif serta inklusif dalam penegakan nilai kemanusiaan dalam dunia maya khususnya.
Kerana, kewarganegaraan digital bukan lagi suatu pilihan. Hakikatnya ia telah menjadi satu keperluan asas dalam membina negara yang moden, demokratik dan lestari pasca-milenia ini. Dan RMK-13 seharusnya adalah induk kepada dasar-dasar pendigitalan ini yang sejajar dan selari dengan visi dan pembangunan hala tuju MADANI. Agar negara tidak hanya berkisar kepada pengejaran terhadap teknologi, sebaliknya turut memanusiawikan ruang digital dalam memastikan tiada sesiapa tertinggal dan terpinggir di dunia baharu ini. Sekian.
Dr. Nurfarhana Che Awang
Director & Co-Founder
AEGIS RESEARCH