RMK13 MASA UNTUK MENGARUSPERDANAKAN KEWARGANEGARAAN INKLUSIF (INLUSIVE CITIZENSHIP)

Republished - Berita Harian 23 Julai 2025

POPULAR WRITING

7/24/20252 min read

pile of color pencils
pile of color pencils

Photo by Hostinger.com

Tempoh kini ketika kerajaan MADANI sedang giat merangka dan merencana Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Tanpa kita sedari bahawa negara kita Malaysia sedang berada di posisi ambang transisi penting iaitu di antara cabaran sosio-ekonomi, peningkatan tarif, perubahan iklim, AI dan tekanan globalisasi yang semakin kompleks.

Justeru, tumpuan perencanaan utama RMK13 tidak seharusnya lagi tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata. Sebaliknya, tumpuan dasar RMK13 harus lebih memfokuskan kepada pembangunan yang benar-benar inklusif yang mengiktiraf warga tanpa mengira latar belakang, agama, etnik, lokasi, atau status rasmi mereka.

Seiring agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pemimpin sering kali melaungkan slogan “tiada siapa yang tercicir” (leaving no one behind) dalam pelbagai ucapan rasmi dan pelan pembangunan. Namun realitinya, masih ramai komuniti yang terpinggir dan tersisih ini wujud, hidup melukut di pinggiran kota tanpa dipedulikan dalam kedaifan. Seolah-oleh slogan ini hanya sebuah retorik pidato pemimpin sahaja. Sedangkan, ramai golongan terpinggir seperti wanita di luar bandar yang kurang memiliki akses kepada kesihatan dan pendidikan, golongan belia marginal di bandar yang tercicir dari peluang ekonomi, migran dan pelarian tanpa dokumen yang dinafikan hak asasinya, serta Orang Asli yang hak dan tanah adat tradisinya terancam. Golongan-golongan ini mungkin berada dalam georgrafi dan berstatus warganegara Malaysia, tetapi tidak menikmati hak sepenuhnya sebagai warga.

Oleh itu, RMK13 adalah ruang yang tepat untuk kerajaan merangka dengan berani keluar daripada pendekatan konvensional pembangunan yang berasaskan kepada angka dan indeks semata-mata. Sebaliknya, ruang RMK13 ini harus digunakan untuk mengangkat konsep “Kewarganegaraan Inklusif” sebagai asas kepada pendekatan yang menekankan terhadap pengiktirafan, penyertaan bermakna dan adil dalam kesemua akses seperti sumber, perkhidmatan, dan ruang pembuatan keputusan.

Mengapa idea dan langkah ini penting? Kerana pembangunan yang tidak inklusif dan menyisihkan golongan marginal akan berterusan melahirkan ketidakpercayaan masyarakat dan rakyat kepada institusi negara. Apabila wujud golongan atau rakyat yang merasakan mereka tidak dilihat dan didengari, maka jurang sosial dan politik akan semakin melebar dan memberi kesan kepada sistem dan amalan demokrasi negara itu sendiri.

Jika dasar RMK12 sebelum ini memperkenalkan pelbagai dasar pemerkasaan kepada kumpulan rentan. Namun, dilihat perlaksanaanya bersifat tidak sekata dan kurang berasaskan kepada mikro komuniti. Maka, rencana dasar RMK13 harus diperkuatkan lagi dengan mekanisme pemantauan komuniti, penglibatan masyarakat sivil, dan data yang benar-benar menangkap naratif realiti akar umbi golongan terpinggir. Antara langkah wajar yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam RMK13 seperti berikut:

i. Menetapkan indikator pembangunan sosial yang berasaskan kepada keadilan dan pengiktirafan (inclusive citizenship).

ii. Menginstitusikan mekanisma libat urus komuniti dalam penggubalan dasar dan pemantauan pelaksanaan. Terutamanya daripada golongan kumpulan belia, wanita dan minoriti.

iii. Memperluaskan lagi perlindungan sosial untuk komuniti rentan, termasuk mereka yang tidak memiliki dokumen, tetapi menyumbang kepada masyarakat.

iv. Menstrukturkan kembali bantuan dan dasar awam yang berasaskan kepada keperluan. Bukan berasaskan kepada status rasmi semata, agar semua warga berpeluang memiliki akses dan menyertai pembangunan dan pembuatan keputusan negara.

Dalam hasrat kerajaan membangunkan Malaysia yang benar-benar adil dan sejahtera pada masa hadapan, ia memerlukan sebuah keberanian politik yang jitu untuk melibatkan dan mengangkat suara-suara yang selama ini tertindas dan diketepikan. RMK13 bukanlah sekadar dokumen pelan 5 tahun perencanaan semata-mata. Tetapi, ia adalah satu peluang dalam menilai dan merangka kembali kontrak sosial antara rakyat dan negara dengan merenungkan kembali kisah Hikayat Sejarah Melayu iaitu “Perjanjian di Antara Sang Sa Perba (rakyat) dengan Demang Lebar Daun (pemerintah)”. Perjanjian ini literasinya, cuba menyatakan bahawa jika pemimpin kurang mempedulikan soal nasib rakyat, kelak rakyat akan bangkit menentang.

Maka demikian, negara tidak boleh berterusan membangunkan ekonomi semata sambil membiarkan komuniti rentan terus terperangkap dalam dakapan kemiskinan, ketidakpastian dan kehilangan suara.

Sekiranya, negara ingin melihat Malaysia yang kukuh dan bersatu menjelang 2050. Maka, asas atau sifirnya perlu dimulakan daripada sekarang iaitu melalui sebuah perancangan pembangunan nasional yang meletakkan kewarganegagaraan inklusif sebagai pendirian dan nadi pada RMK13.

Dr. Nurfarhana Che Awang

Director & Co-Founder 

AEGIS RESEARCH