TREND PENGUNDIAN ‘RENTAS PARTI’ PRU-15 MEMUNGAR HARAPAN MEMAJU INSPIRASI KE ARAH KESATUAN KAUM DAN PEMBENTUKAN MASYARAKAT INKLUSIF
Republished - Naratif Malaysia 2022
POPULAR WRITING
Dr. Nurfarhana Che Awang
6/2/20254 min read
Photo: Hostinger.com
Kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) yang bertemakan ‘rentas parti’ memperlihatkan gelombang kematangan baharu dalam landskap politik di Malaysia. Kesedaran dan kebangkitan populisme menatijahkan kesan kepada trend pengundian parokial dan kelangsungan politik lapok telah merubah konsep dan naratif lama dalam mozek politik di negara ini. Naratif politik lama yang berkisarkan ideal parokial dan kelangsungan politik yang bertemakan perkauman, bangsa, agama, kebencian, dan identiti telah membataskan negara dalam mencapai perpaduan dan pembinaan negara bangsa.
PRU-15 ini telah memamerkan pemunculan trend pengundian rentas parti dan naratif politik baharu yang lebih membugar membawa kepada arah alir yang lebih inklusif dan terangkum dari kerangka sosial, ekonomi dan politik. Trend pengundian rentas parti ini telah memanifestasikan naratif politik baharu yang tidak lagi bersandarkan kepada politik berasaskan perkauman, pemanipulasian, kebencian, dan keetnikan. Sebaliknya, memperlihatkan kesedaran dan kebangkitan populis ke arah yang lebih bersepadu dan rencam sifatnya seperti kestabilan ekonomi, politik dan sosial.
Arah alir kebangkitan populisme dan rentas parti pada PRU15 ini terdorong revolusinya hasil daripada percanggahan antara kehendak umum (rakyat) dengan realiti yang wujud pada hari ini. Dari konteks pentadbiran rejim lama memperlihatkan perwujudan jurang kelas sosial antara pemimpin dengan rakyat marhaen yang begitu ketara. Di mana pemimpin-pemimpin atau elit politik dilihat menikmati kedudukan dan kehidupan yang istimewa dari segi politik dan sosial, serta turut memonopoli segala hak keistimewaan dan prestij dari pelbagai konteks ekonomi, sosial dan undang-undang. Kebangkitan populis ini atau naratif politik baharu ini adalah merupakan cubaan golongan populis untuk menyekat dan menentang golongan elit pemerintah dari berterusan menikmati keistimewaann dan penyalahgunaan kuasa. Bahkan turut untuk meruntuhkan kekuasaan rejim perintahan serta menuntut peluang dan dan kedudukan yang sama rata yang memungkinkan rakyat mendapat manfaat yang lebih banyak di bawah rejim pentadbiran yang baharu yang lebih berintegriti; telus, bertanggungjawab dan memiliki akauntabiliti dalam melaksanakan pentadbiran rakyat ke arah pemerintahan yang lebih mampan, inklusif dan saksama.
Trend pengundian rentas parti atau naratif politik baharu ini turut boleh dilihat sebagai suatu revolusi sosial, politik dan ekonomi yang digerakkan dari aliran bawah ke atas (bottom-up) melalui kesedaran hak demokratik golongan rakyat. Bertujuan untuk menghapuskan sistem politik feudal yang bercitrakan perkauman dan berasaskan bangsa; ke arah politik yang matang, demokratik dan bersifat lebih inklusif dan mesra kaum. Malahan, trend PRU15 ini turut memanifestasikan kematangan politik, idea kesedaran akan hak kewarganegaraan dalam kalangan masyarakat untuk meruntuhkan pengamalan rasuah, kronisme, nepotisme, favouritisme yang telah memudur dan mengundurkan kemajuan Malaysia.
Gelombang populisme ini bukan suatu aliran dan idea baharu yang wujud dalam lipatan sejarah negara mahupun dunia. Tetapi ia telahpun wujud pada era Revolusi Perancis 1789-1799 yang memperlihatkan kemunculan revolusi borjuis dan revolusi antifeudal. Gerakan ini telah digerakan oleh golongan borjuis yang muak dan lelah dengan golongan agama dan bangsawan yang menikmati kehidupan yang berprestij tanpa menghiraukan kesengsaraan golongan bawahan. Revolusi atau kebangkitan populisme yang bersifat bottom-up ini telah menggerakan revolusi dunia yang menjadi model terhadap revolusi atau reformasi pada dunia moden pada hari ini. Kebangkitan revolusi atau gerakan radikal di nusantara turut dapat dilihat pada kes Indonesia yang dipelopori oleh figura Sukarnor (wira gerakan radikal) yang turut telah memberi kesan kepada golongan sayap kiri Tanah Melayu yang dicetuskan oleh pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Dr Burnanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad dan Ibrahim Haji Yaacob.
Perubahan landskap politik dari naratif lama kepada naratif baharu memugar harapan ke arah kesatuan kaum yang lebih baik dan pembentukan masyarakat yang lebih inklusif. Umpamanya sebuah masyarakat Malaysia yang tidak lagi berteraskan kepada bangsa dan perkauman. Sebaliknya, ke arah pewujudan sebuah konsep bangsa Malaysia yang sejati. Idea dan konsep penyatuan bangsa bukanlah suatu konsep yang baharu di Malaysia; bahkan ia telahpun wujud sebelum tertubuhnya Perlembangaan Persekutuan 1948. Idea penyatuan bangsa, negara bangsa dan pembinaan negara bangsa serta masyarakat inklusif telah terlebih dahulu dicitrakan oleh pemimpin Melayu PKMM yang telah melihat dan meramal masa hadapan Tanah Melayu 50 tahun kehadapan. Kemajuan dan kemakmuran Tanah Melayu tidak harus didasarkan kepada kepentingan bangsa majoriti semata-semata. Sebaliknya, kesepaduan dan perkongsian identiti bersama sebagai sebuah bangsa Malaysia adalah asas kekuatan dan kemajuan negara. Hal ini telah dizahirkan di dalam Perlembagaan Rakyat 1947 yang memperuntukan kepentingan bangsa sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara. Perwujudan dan penciptaan identiti baharu bersama-sama tiga bangsa utama di Tanah Melayu adalah untuk membentuk suatu masyarakat bayangan dengan pengenalan kepada konsep ‘bangsa Melayu’. Konsep bangsa Melayu yang bersifat inklusif dan tidak sempit telah diperutarakan oleh PKMM sebagai perlembagaan negara yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat 1947. Memperuntukan bahawa kaum Melayu, kaum Cina dan kaum Kaum India sebagai bangsa Melayu. Idea ini bertujuan untuk mencapai perpaduan dan kesepaduan sebagai bangsa idaman yang baharu di Tanah Melayu yang berpaksikan kepada politi Melayu serta tidak menafikan kewujudan kaum lain sebagai bangsa Melayu.
Perlembagaan Rakyat 1947 telah mengasaskan idea bangsa yang lebih inklusif dan turut bercita-cita untuk membentuk ‘Federation of Malayan Nation’ yang terbahagi kepada Malaya, Jawa, Sumatera, Borneo, Celebes dan kepulauan lain yang berada di nusantara ini. Ini kerana pemimpin PKMM seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy percaya bahaya kesatuan adalah kekuatan seperti kenyataan berikut:
…“bersatu itu ialah satu kekuatan kita. Dan apabila ada kekuatan kita akan berupaya membuat atau menghasilkan apa juga yang kita citakan...”
Namun begitu, konsep ini telah ditolak oleh pemimpin dan masyarakat Melayu pada waktu itu dan kini konsep dan idea satu bangsa Malaysia dilihat telah menjadi harapan baharu kepada Malaysia untuk lebih maju. Justeru, gelombang naratif politik baharu ini dilihat dapat memugar harapan ke arah kesatuan bangsa yang lebih inklusif serta kematangan politik di Malaysia. Harapan trend naratif baharu ini mampu menjadi kerangka asas dalam membentuk negara Malaysia ke arah pembinaan negara bangsa dan masyarakat yang inklusif sehaluan dengan matlamat pembangunan mampan 2030 yang digazetkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. Umpamanya, seperti matlamat 10 iaitu untuk mempromosi dan memperkasakan nilai sosial, ekonomi dan politik yang lebih inklusif tanpa perlu mengira soal konteks umur, jantina, ketidakupayaan, bangsa, etnik, asal usul, ekonomi dan status. Bahkan dengan pemerkasaan matlamat ini mampu mewujudkan keamanan dan keadilan dan institusi politik yang mampan seperti yang terkandung di dalam matlamat pembangunan mampan 16.
Dr. Nurfarhana Awang merupakan seorang politikal saintis yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.